BERITA Jitra,Kedah (11 Jun 2026) – Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Kedah dengan kerjasama Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) telah menganjurkan Kursus Pentadbiran dan Pengurusan Kontrak JPS Kedah Tahun 2026 pada 8 hingga 10 Jun 2026 bertempat di Dewan Kuliah 4, POLIMAS. Majlis perasmian kursus telah disempurnakan oleh Pengarah JPS Negeri Kedah. Turut menyampaikan ucapan aluan ialah Ts. Sharul bin Che On, Ketua Jabatan Kejuruteraan Awam, POLIMAS. Kursus ini melibatkan penyertaan pegawai dan kakitangan daripada JPS Negeri Kedah, Pejabat Projek Persekutuan (PPP) Kedah, PPP Perlis serta pensyarah POLIMAS. Program ini bertujuan memperkukuh pengetahuan dan pemahaman peserta berkaitan aspek pentadbiran serta pengurusan kontrak dalam pelaksanaan projek. Sepanjang kursus berlangsung, peserta telah menerima perkongsian ilmu daripada penceramah Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia iaitu Sr. Norazam Hassan dan Puan Zaihartini Zahari yang berkongsi pengalaman serta amalan terbaik dalam pengurusan kontrak. Semoga penganjuran program seperti ini dapat terus memperkasakan kompetensi warga kerja serta meningkatkan keberkesanan pelaksanaan projek demi penyampaian perkhidmatan yang lebih cemerlang.
𝐌𝐀𝐉𝐋𝐈𝐒 𝐀𝐌𝐀𝐍𝐀𝐓 𝐊𝐄𝐓𝐔𝐀 𝐏𝐄𝐍𝐆𝐀𝐑𝐀𝐇 𝐉𝐏𝐒 𝐌𝐀𝐋𝐀𝐘𝐒𝐈𝐀 𝐃𝐀𝐍 𝐌𝐀𝐉𝐋𝐈𝐒 𝐏𝐄𝐑𝐒𝐀𝐑𝐀𝐀𝐍 𝐁𝐈𝐋. 𝟑 𝐓𝐀𝐇𝐔𝐍 𝟐𝟎𝟐𝟔
BERITA Cyberjaya (17 April 2026) – Pada 17 April 2026 bertempat di Dewan Serbaguna JPS Malaysia, Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Kedah telah menerima pengiktirafan melalui penyampaian sijil penghargaan atas pencapaian cemerlang: Prestasi Pembayaran Bil dan Tuntutan dalam Tempoh 7 Hari sebanyak 100% bagi Tahun Kewangan 2025 Prestasi Pencapaian 100% Rancangan Kerja Tahunan (RKT) Tahun 2025 Majlis ini turut dihadiri oleh pegawai-pegawai JPS Negeri Kedah iaitu Pengarah JPS Negeri Kedah, Ir. Ahmad Solihin bin Budarto, Timbalan Pengarah (Operasi), Timbalan Pengarah (Kejuruteraan), Jurutera Daerah Kulim/Bandar Baharu, Penolong Pengarah Kanan (Korporat) serta Penolong Pengarah Kanan (Khidmat Pengurusan). Pengiktirafan ini membuktikan komitmen berterusan JPS Negeri Kedah dalam memastikan tadbir urus kewangan yang cekap serta pelaksanaan perancangan kerja yang berkesan demi kecemerlangan perkhidmatan.
LAWATAN TEKNIKAL & PERKONGSIAN ILMU KESKIP JPS KEDAH KE BALING
BERITA Baling (5 Februari 2026) – Kelab Sukan Ibu Pejabat (KESKIP) JPS Negeri Kedah telah mengadakan Lawatan Sambil Belajar ke Projek Pembinaan Infrastruktur SABO di Lembangan Sungai Kupang, Baling, Kedah. Lawatan ini bukan sekadar tinjauan biasa, tetapi satu sesi penghargaan kerana projek reka dan bina ini telah berjaya disiapkan SETAHUN LEBIH AWAL daripada tarikh jadual asal! Ahli-ahli KESKIP berpeluang melihat sendiri hasil kejuruteraan struktur SABO yang kini sedia berfungsi sepenuhnya untuk mengurangkan risiko bencana aliran puing (debris flow) di kawasan ini. Pencapaian menyiapkan projek mendahului jadual ini membuktikan komitmen tinggi dan pengurusan projek yang efisien oleh semua pihak yang terlibat. Semoga kejayaan ini menjadi inspirasi kepada warga JPS Kedah dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
JPS KEDAH PASANG 3 UNIT PAM BERGERAK DI POKOK SENA BANTU PESAWAH HADAPI KEMARAU
BERITA Alor Setar (18 Januari 2026) – Demi memastikan kelangsungan tanaman padi sewaktu musim kemarau ini, pasukan teknikal dari Bahagian Perkhidmatan Mekanikal dan Elektrikal (BPME) JPS Kedah telah berjaya menyiapkan pemasangan pam air tambahan di Kampung Nawa Budi, Pokok Sena. Pada petang 15 Januari 2026, seramai 8 anggota kami telah mengerah keringat memasang: 1 unit pam berkapasiti tinggi 5 cusec (140 liter/s). 2 unit pam 2.5 cusec (70 liter/s). Kesemua unit ini kini berada dalam status KESIAPSIAGAAN PENUH untuk beroperasi pada bila-bila masa bagi menyalurkan air ke kawasan sawah yang terjejas. Komitmen kami adalah untuk memastikan pekebun dan pesawah mendapat bekalan air yang mencukupi.
MESYUARAT JAWATANKUASA PENGURUSAN ASET ALIH KERAJAAN (JKPAK) JPS KEDAH BIL. 4/2025
BERITA Alor Setar (7 Januari 2026) –Telah berlangsung Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Aset Alih Kerajaan (JKPAK) JPS Kedah Bil. 4/2025 bertempat di Bilik Mesyuarat Utama, JPS Kedah. Sesi ini telah dipengerusikan oleh Tuan Pengarah JPS Kedah, Ir. Ahmad Solihin bin Budarto, serta dihadiri oleh Timbalan Pengarah Kejuruteraan, Ketua-ketua Bahagian, dan Jurutera-jurutera Daerah. Fokus utama mesyuarat adalah bagi membentangkan Laporan Suku Tahun Peruntukan yang merangkumi Perolehan Aset Alih, Aset Hidup, Aset Tak Ketara, serta Stok Kerajaan. Pemantauan berkala seperti ini amat penting bagi memastikan setiap aset negara diuruskan dengan sistematik dan mematuhi piawaian yang ditetapkan.
MESYUARAT JAWATANKUASA PENGURUSAN KEWANGAN DAN AKAUN (JPKA) JPS KEDAH BIL. 4/2025
BERITA Alor Setar (7 Januari 2026) – Telah berlangsung Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Kewangan Dan Akaun (JPKA) JPS Kedah Bil. 4/2025 yang bertempat di Bilik Mesyuarat Utama, JPS Kedah. Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Tuan Pengarah JPS Kedah, Ir. Ahmad Solihin bin Budarto ini bertujuan meneliti dan membincangkan laporan prestasi kewangan serta akaun jabatan bagi tempoh berakhir 31 Disember 2025. Kehadiran barisan Timbalan Pengarah, Ketua-ketua Bahagian, dan Jurutera Daerah membuktikan komitmen jitu JPS Kedah dalam memastikan setiap peruntukan diuruskan dengan telus dan berintegriti demi kesejahteraan rakyat.