BERITA SUNGAI PETANI (08 September 2025) – Kursus Keselamatan Tapak Bina telah dianjurkan oleh Unit KKP JPS Kedah pada 8 September 2025 bertempat di The Jerai Hotel, Sungai Petani. Seramai 30 orang ahli Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) peringkat JPS Negeri Kedah, yang terdiri daripada wakil majikan dan pekerja di Ibu Pejabat serta JPS Daerah, telah menghadiri kursus ini. Kursus ini turut dihadiri dan telah dirasmikan oleh Pengarah JPS Negeri Kedah, Ir. Ahmad Solihin bin Budarto, PJK. Bagi mengisi pengisian kursus, pejabat ini telah menjemput wakil daripada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Negeri Kedah untuk menyampaikan ceramah. Objektif penganjuran kursus adalah:a. Memberi pengetahuan dan kesedaran tentang kepentingan keselamatan dan kesihatan di tapak pembinaan;b. Menggalakkan pematuhan terhadap peraturan keselamatan seperti Akta 520 serta Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA) 1994);c. Memastikan kerja selamat dapat dilaksanakan sekali gus mengurangkan kadar kemalangan di tapak pembinaan. Akhir kata, setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada pihak urus setia serta semua yang terlibat dalam menjayakan kursus ini.
KURSUS PROFESIONALISME PEGAWAI KESELAMATAN JABATAN DAN PENOLONG PEGAWAI KESELAMATAN JABATAN
BERITA LANGKAWI (02 September 2025) – Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Kedah Darul Aman dengan kerjasama Institut Latihan Keselamatan Perlindungan Malaysia (ILKEM) telah menganjurkan Kursus Profesionalisme Pegawai Keselamatan Jabatan (PJK) dan Penolong Pegawai Keselamatan Jabatan (PPKJ) pada 2 hingga 4 September 2025 bertempat di Hotel Langkapuri Resort, Langkawi. Kursus ini telah menampilkan penceramah jemputan iaitu En. Anuar bin Seran, Pengarah Keselamatan Kerajaan dari Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan (KPKK) Negeri Kedah dan En. Mohd Khairolsyaril bin Bakarudin dari Pejabat KPKK Negeri Kedah. Majlis perasmian kursus telah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah (Operasi) JPS Negeri Kedah, En. Mohd Nazaruddin bin Ghazali. Peserta kursus terdiri daripada Pegawai Keselamatan Jabatan (PJK) dan Penolong Pegawai Keselamatan Jabatan (PPKJ) di bahagian serta daerah JPS Negeri Kedah. Penganjuran kursus ini bertujuan meningkatkan tahap profesionalisme, pengetahuan serta kompetensi pegawai keselamatan dalam melaksanakan tanggungjawab dan peranan di jabatan.
TAKLIMAT PEGAWAI LANTIKAN BAHARU JPS KEDAH: MEMPERKASA PERKHIDMATAN AWAM MELALUI KEFAHAMAN VISI, AMANAH DAN INTEGRITI
BERITA ALOR SETAR (17 Ogos 2025) – Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Kedah telah menganjurkan satu sesi taklimat kepada sembilan (9) orang pegawai lantikan baharu, bertempat di Bilik Mesyuarat Tingkat 7, Bangunan Sultan Abdul Halim, ibu pejabat JPS Kedah. Program ini diadakan sebagai usaha untuk memperkenalkan pegawai baharu kepada fungsi, peranan serta budaya kerja jabatan dalam menyokong keberkesanan perkhidmatan awam di peringkat negeri. Taklimat yang bermula pada jam 9.30 pagi itu telah dipengerusikan oleh Tuan Pengarah JPS Kedah, Ir. Ahmad Solihin bin Budarto, dan turut dihadiri oleh Timbalan Pengarah (Operasi) serta Timbalan Pengarah (Kejuruteraan). Kehadiran barisan pengurusan tertinggi jabatan mencerminkan komitmen untuk membimbing pegawai baharu memahami dengan jelas tanggungjawab yang bakal digalas. Antara pengisian utama dalam sesi ini termasuklah penerangan berkenaan struktur organisasi jabatan, fungsi utama bahagian-bahagian teknikal dan sokongan, serta peranan JPS Kedah dalam aspek pengurusan air, mitigasi banjir, kejuruteraan saliran dan kelestarian alam sekitar. Selain itu, penekanan turut diberikan terhadap visi jabatan untuk menjadi peneraju dalam pengurusan sumber air negara yang mampan, serta misi jabatan dalam memberikan perkhidmatan yang cekap, berintegriti dan mesra rakyat. Sebagai simbolik komitmen dan tanggungjawab sebagai penjawat awam, sesi taklimat turut disusuli dengan bacaan Ikrar Perkhidmatan Awam dan Akur Janji oleh semua pegawai lantikan baharu, yang diketuai oleh salah seorang peserta. Bacaan ikrar tersebut menggambarkan kesediaan para pegawai untuk menjalankan tugas dengan penuh integriti, amanah dan profesionalisme selaras dengan etika dan nilai perkhidmatan awam. Dalam ucapannya, Tuan Pengarah menegaskan bahawa setiap penjawat awam memainkan peranan penting dalam memastikan kelangsungan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan. Beliau turut menasihatkan para pegawai baharu agar sentiasa berpegang kepada prinsip integriti, bersedia menimba ilmu dan mengadaptasi dengan budaya kerja jabatan yang menuntut kecekapan teknikal dan keprihatinan terhadap rakyat. Sesi ini menandakan permulaan penting bagi pegawai baharu dalam perjalanan kerjaya mereka di JPS Kedah, dan diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada budaya kerja cemerlang serta penyampaian perkhidmatan yang lebih berkesan dan mesra rakyat.
TAKLIMAT BERKAITAN PEMANTAUAN PERBELANJAAN PERUNTUKAN MENGURUS B13/28000 JABATAN PENGAIRAN DAN SALIRAN NEGERI KEDAH TAHUN 2025
BERITA ALOR SETAR (20 Mac 2025) – Taklimat Berkaitan Pemantauan Perbelanjaan Peruntukan mengurus B13/28000 JPS Negeri Kedah telah diadakan pada 20 Mac 2025 di Bilik Mesyuarat Jabatan Perhutanan Negeri Kedah. Mesyuarat ini dipengerusi oleh Timbalan Pengarah Kejuruteraan Gs. Baharudin bin Ahmad. Mesyuarat pengurusan diadakan untuk membincangkan pemantauan perbelanjaan peruntukan mengurus dilakukan secara berkala untuk memastikan penggunaan dana adalah selaras dengan perancangan yang telah ditetapkan.
MESYUARAT PEMBUKAAN PENGAUDITAN PENGURUSAN PENCEGAHAN HAKISAN PANTAI DAN MUARA SUNGAI
BERITA ALOR SETAR (19 Mac 2025) – Mesyuarat Pembukaan bagi Pengauditan Pengurusan Pencegahan Hakisan Pantai dan Muara Sungai telah diadakan pada 19 Mac 2025 bertempat di Bilik Mesyuarat Utama, JPS Kedah. Mesyuarat ini telah dipengerusikan oleh Pengarah JPS Kedah, Ir. Ahmad Solihin bin Budarto. Dalam mesyuarat ini, taklimat berkenaan Pengurusan Pencegahan Hakisan Pantai dan Muara Sungai JPS Kedah telah disampaikan oleh Penolong Pengarah Kanan (Korporat) dan Penolong Pengarah Kanan (BPSPP).Turut hadir dalam mesyuarat ini ialah Pengarah Audit Negeri Kedah, Puan Mazmiza binti Mihat, bersama enam orang pegawai dari Pejabat Audit Negara Negeri Kedah, Timbalan Pengarah (Kejuruteraan) JPS Kedah, Gs. Baharudin bin Ahmad, serta Jurutera Daerah dan Penolong Jurutera Daerah.
BENGKEL PENYELARASAN SISTEM MYPROJEK JPS NEGERI KEDAH
BERITA ALOR SETAR (19 Mac 2025) – Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Kedah telah menganjurkan Bengkel Penyelarasan Sistem MyProjek pada 18 hingga 19 Mac 2025 bertempat di Bilik Mesyuarat JPS Kota Setar/Pendang/Yan. Bengkel ini melibatkan penyertaan pegawai-pegawai dari Ibu Pejabat JPS Kedah serta JPS daerah. Taklimat bengkel telah disampaikan oleh En. Zariman Bin Mohammad Radin, Penolong Pengarah Kanan (Kejuruteraan), yang berkongsi maklumat penting mengenai penyelarasan sistem bagi meningkatkan kecekapan dan keberkesanan pengurusan projek di JPS Negeri Kedah.