ALOR SETAR (17 Ogos 2025) – Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Kedah telah menganjurkan satu sesi taklimat kepada sembilan (9) orang pegawai lantikan baharu, bertempat di Bilik Mesyuarat Tingkat 7, Bangunan Sultan Abdul Halim, ibu pejabat JPS Kedah. Program ini diadakan sebagai usaha untuk memperkenalkan pegawai baharu kepada fungsi, peranan serta budaya kerja jabatan dalam menyokong keberkesanan perkhidmatan awam di peringkat negeri.
Taklimat yang bermula pada jam 9.30 pagi itu telah dipengerusikan oleh Tuan Pengarah JPS Kedah, Ir. Ahmad Solihin bin Budarto, dan turut dihadiri oleh Timbalan Pengarah (Operasi) serta Timbalan Pengarah (Kejuruteraan). Kehadiran barisan pengurusan tertinggi jabatan mencerminkan komitmen untuk membimbing pegawai baharu memahami dengan jelas tanggungjawab yang bakal digalas.
Â
Antara pengisian utama dalam sesi ini termasuklah penerangan berkenaan struktur organisasi jabatan, fungsi utama bahagian-bahagian teknikal dan sokongan, serta peranan JPS Kedah dalam aspek pengurusan air, mitigasi banjir, kejuruteraan saliran dan kelestarian alam sekitar. Selain itu, penekanan turut diberikan terhadap visi jabatan untuk menjadi peneraju dalam pengurusan sumber air negara yang mampan, serta misi jabatan dalam memberikan perkhidmatan yang cekap, berintegriti dan mesra rakyat.
Â
Sebagai simbolik komitmen dan tanggungjawab sebagai penjawat awam, sesi taklimat turut disusuli dengan bacaan Ikrar Perkhidmatan Awam dan Akur Janji oleh semua pegawai lantikan baharu, yang diketuai oleh salah seorang peserta. Bacaan ikrar tersebut menggambarkan kesediaan para pegawai untuk menjalankan tugas dengan penuh integriti, amanah dan profesionalisme selaras dengan etika dan nilai perkhidmatan awam.
Â
Dalam ucapannya, Tuan Pengarah menegaskan bahawa setiap penjawat awam memainkan peranan penting dalam memastikan kelangsungan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan. Beliau turut menasihatkan para pegawai baharu agar sentiasa berpegang kepada prinsip integriti, bersedia menimba ilmu dan mengadaptasi dengan budaya kerja jabatan yang menuntut kecekapan teknikal dan keprihatinan terhadap rakyat.
Â
Sesi ini menandakan permulaan penting bagi pegawai baharu dalam perjalanan kerjaya mereka di JPS Kedah, dan diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada budaya kerja cemerlang serta penyampaian perkhidmatan yang lebih berkesan dan mesra rakyat.