BERITA

𝐋𝐀𝐖𝐀𝐓𝐀𝐍 𝐃𝐄𝐋𝐄𝐆𝐀𝐒𝐈 𝐌𝐈𝐋𝐓 𝐉𝐄𝐏𝐔𝐍 𝐊𝐄 𝐊𝐄𝐃𝐀𝐇 𝐁𝐀𝐆𝐈 𝐌𝐄𝐍𝐄𝐋𝐈𝐓𝐈 𝐏𝐑𝐎𝐉𝐄𝐊 𝐄𝐌𝐏𝐀𝐍𝐆𝐀𝐍 𝐒𝐀𝐁𝐎

YAN (13 Mac 2025) – Delegasi dari Kementerian Tanah, Infrastruktur, Pengangkutan dan Pelancongan (MILT) Jepun yang diketuai oleh Mr. Fumoto Hiroshi, bersama empat wakil syarikat persendirian Jepun, telah mengadakan sesi pembentangan mengenai Pengenalan kepada Pengurangan Risiko Bencana Alam di Jepun kepada Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), YBrs. Dr. Nadzman Bin Mustaffa di Wisma Darul Aman, Alor Setar.

Sesi ini turut menampilkan pembentangan mengenai Perancangan Infrastruktur oleh Timbalan Pengarah (Kejuruteraan) JPS Kedah, Gs. Baharudin bin Ahmad, serta taklimat berkenaan Pengurusan Bencana di Malaysia, khususnya di Negeri Kedah oleh pegawai dari Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN).

Turut hadir ialah Pengarah Bahagian Pengurusan Lembangan Sungai (BPLS) JPS Malaysia, Ir. Hajah Norlida binti Mamad @ Samad, bersama wakil dari JPS Kedah, termasuk Pengarah JPS Negeri Kedah, Ir. Ahmad Solihin bin Budarto, Penolong Pengarah Kanan (Khidmat Pengurusan), serta Penolong Pengarah Kanan (Kejuruteraan).
 
Sejurus selepas sesi pertemuan, delegasi dibawa melawat tapak Projek Empangan Sabo di Titi Hayun, Yan dan Tupah, Kedah. Lawatan ini bertujuan mendapatkan gambaran lebih terperinci mengenai empangan sabo, khususnya dalam menilai kesan fenomena debris flow serta meneliti keberkesanan pelaksanaan projek dalam mengatasi cabaran ini.
 
Projek Empangan Sabo merupakan antara inisiatif mitigasi utama bagi mengawal aliran puing serta mengurangkan risiko bencana banjir dan tanah runtuh di kawasan berisiko tinggi. Lawatan ini juga menjadi platform penting untuk pertukaran ilmu dan teknologi antara Malaysia dan Jepun dalam bidang pengurusan sumber air serta mitigasi bencana alam.